Ahad, 16 Mei 2010

Rahsia Tiada Basmalah Di Awal Surah Al-Tawbah

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________

Al-Imam al-Syathibiy rahimahullah Ta'ala berkata dalam kitabnya Mandhumah Hurz al-Amaniy;

" Dan setiap kali kamu mewasalkannya ( surah al-Tawbah ) atau memulakan surah al-Bara'ah, oleh kerana ia diturunkan dengan "pedang" ( perang ), maka kamu tidak diharuskan membaca Basmalah."

Pengarang kitab Siraj al-Qaari, al-Imam Abu al-Qasim al-Baghdadiy telah memberi komentarnya terhadap kenyataan al-Imam al-Syathibiy tersebut;

"Maksudnya, bahawasanya surah Bara'ah ( al-Tawbah ) itu tidak dibaca Basmalah di permulaannya sama ada pembacaca al-Quran itu menyambungnya dengan surah al-Anfal atau ia memulai dengannya. Kemudian beliau ( al-Imam al-Syathibiy ) menyebutkan rahsia kenapa tiada Basmalah di awal surah Bara'ah. Beliau berkata kerana ia diturunkan berkaitan dengan pedang, maksudnya bahawasanya surah itu diturunkan atas dasar kemurkaan, penuh dengan ancaman dan di dalamnya pula ada ayat saif ( pedang ). Ibnu 'Abbas r.a telah berkata; saya pernah bertanya kepada 'Aliy r.a kenapa tidak ditulis Basmalah di awal surah Bara'ah? Kemudian beliau menjawab, kerana bahawasanya Basmalah itu menunjukkan makna penuh kedamaian sedangkan Bara'ah tidak ada kedamaian kerana ia diturunkan berkaitan dengan peperangan. Dan ucapan al-Imam al-Syathibiy " Lasta Mubasmilan" bererti seorang pun dari ahli Qira'aat tidak ada yang membaca Basmalah di awal surah Bara'ah kerana tidak akan dapat berkumpul antara rahmat dengan azab." ( Siraj al-Qari: 30 )

Keterangan kedua-dua imam tersebut boleh juga ada di dalam kitab Taisir al-Musykilaat Fi Qiraat al-Ayaat oleh al-Imam 'Abd al-Hannan Sa'id dalam halaman 74 dan 75.

Al-Imam Jalaluddin al-Suyuthiy dalam kitab Tanasuq al-Durar Fi Nanasub al-Suwar, halaman 90, berkata;

" Segolongan daripada ulama al_salaf telah berkata; bahawasanya al-Anfal dan Bara'ah itu adalah satu surah, buka dua surah."

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah;

1. Oleh kerana surah Bara'ah diturunkan berhubung dengan peperangan sedangkan Basmalah isinya penuh kedamaian, maka Basmalah tidak ditulis di awal surah tersebut.

2. Oleh kerana al-Anfal dan Bara'ah itu di dalamnya terdapat kisah yang serupa sehingga 'Usman bin 'Affan r.a menduga bahawa surah Bara'ah itu sebahagian daripada surah al-Anfal. Bahkan dari ulama al-Salaf banyak yang berpendapat demikian. Jika surah Bara'ah itu sebahagian dari surah al-Anfal, tentu tidak perlu ada Basmalah.Wallahu a'lam.


Rabu, 12 Mei 2010

Jadual Kuliah Talaqqi Al-Quran Bersanad

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Umat Islam yang tinggal di daerah Petaling dan Shah Alam adalah dijemput ke majlis ilmu Talaqqi Ilmu Tajwid dan Talaqqi Al-Quran di masjid dan surau yang dinyatakan di bawah ini.

1. Surau as-Syakirin Taman Puchong Utama ( Haji Fadhil: 013 3446445 )

Hari : Setiap Hari Jumaat Selepas Solat Maghrib

2. Masjid Bandar Bukit Puchong ( Hj. Fadzil 019 2112830 )

Hari : Setiap Hari Selepas solat Maghrib, kecuali Ahad ke-4

3. Masjid Nurul Iman Kg. Tengah Bt 13 Puchong ( Hj Hasan 012 3396274 )

Hari : Sabtu ke-2 ( Selepas Isya' ) dan Sabtu ke-4 ( Selepas Maghrib )

4. Masjid Taman Subang Perdana ( Hj. Sairan 019 323 6414 )

Hari : Sabtu ke-1 dan Sabtu ke-3 ( selepas solat Isya' )

5. Surau An-Najahiyyah Seksyen 19 ( bersebelahan PPD ) Shah Alam ( Hj Amir 012 9062122 )

Hari : Khamis ke-2 dan isnin ke-4 ( selepas solat Maghrib )

Hari : Sabtu ke-2 dan Sabtu ke-4 ( jam 8.30 pagi )

6. Surau al-Makmuriah Sri Pristana Saujana Utama ( Ustaz Khairul 013 341 3002 )

Hari : Selasa ke-1 dan Selasa ke-3 ( selepas solat Maghrib )

Sila bawa al-Quran Rasm 'Utsmaniy dan buku catatan. Lagi baik jika anda bawa rehal dari rumah. Ajaklah ahli keluarga anda. Marilah kita bersama-sama mempelajari al-Quran. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w;

1. Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya ( H.R Al-Bukhari )

2. Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat ( bantuan ) kepada orang yang membacanya. ( H.R Muslim )